Thursday, January 16, 2014

Merentas Kecemerlangan, Mencipta Kegemilangan

Kegiatan kokurikulum sekolah yang merangkumi aktiviti pasukan unit beruniform, kelab dan persatuan serta kelab sukan dan permainan merupakan aktiviti luar bilik darjah. Akitiviti ini merupakan suatu manifesto yang harus ditunaikan guru dan dijalankan sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Kepentingan aktiviti ini juga setara dengan kepentingan aktiviti dalam bilik darjah kerana peranannya diakui sebagai penyumbang dan pelengkap kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran juga kecemerlangan diri serta sahsiah murid-murid.

Menyusuri kalendar 2013 lalu, pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh pihak SK Bertam Indah untuk menjana kecemerlangan murid dalam bidang kokurikulum. Sekurang-kurangnya terdapat 6 unit beruniform, 20 kelab dan persatuan serta 11 kelab sukan dan permainan yang boleh diceburi murid. Aktiviti yang dijalankan pula merentasi kepelbagaian bidang mengikut kesesuaian dan lokaliti serta kemudahan infrastruktur yang ditawarkan sekolah atau institusi-institusi berhampiran dengannya.

Bertepatan dengan gelaran yang disandang sekolah sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi pada akhir 2012, hasrat untuk SKBI cemerlang di bidang kokurikulum dapat disaksikan daripada penyertaan murid dalam pelbagai aktiviti sama ada di peringkat sekolah mahupun di luar. Melalui peruntukan yang disalurkan di bidang kokurikulum untuk digerakkan ke dalam program-program sokongan SBT, ia  telah digunakan dengan sebaiknya menerusi program dalam negara juga luar negara.

Justeru, hadiah ataupun ganjaran yang diperolehi sekolah daripada pemberian ini dapat dilihat daripada beberapa siri kejayaan yang dilakar murid sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Antaranya seperti yang disenaraikan di bawah :

1. Pemenang 4 Pingat Gangsa dalam Kejohanan Taekwando di Yogyakarta.

2. Johan dan Tempat ke-3 dalam Pertandingan Sudoku serta Johan Scrabble dalam Pertandingan Sudoku dan Scrabble di negara Brunei Darussalam.

3. Pemenang Naib Juara dalam acara Bercerita Kisah-kisah Teladan Berbahasa Arab anjuran SK Mindent Height yang disertai peserta dalam negara dan luar seperti Thailand dan Indonesia. Peserta sekolah merupakan murid yang menyertai Kem Bina Juara B. Arab 2013.

4. Pemenang Pingat Perak dalam acara berkumpulan perempuan dalam Kejohanan Boling Tenpin Peringkat Negeri 2013. Kesemua pesertanya adalah murid-murid yang mengikuti program latihan boling selama hampir 6 bulan di bawah program YES-BOS 2013.

Konklusinya, kalah atau menang, berjaya ataupun tidak bukanlah nawaitu utama yang harus dikejar. Kecemerlangan kokurikulum sebenarnya bermula daripada asas dan niat murni ataupun rentak hati yang dipasang pada awal penyertaan seteruskan kekal berkobar-kobar untuk merentas kecemerlangan demi mencipta kegemilangan.

Oleh : Rasyiddin Mohd

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | JCpenney Printable Coupons